Selamat Datang Pelawat  

  Jumaat, 14hb Disember 2018  

SOAL/JAWAB

1

Kita mendengar banyak rungutan berkenaan istilah yang sukar difahami, kurang mantap dan selalu berubah. Mengapakah hal sedemikian terjadi?

Berhubung dengan masalah istilah yang tidak difahami, sebenarnya kita perlulah sedar bahawa istilah agak berbeza dengan kata umum. Penggunaan istilah dalam penulisan Perubatan misalnya, tentu sekali tidak akan difahami oleh pengguna bahasa dari bidang Sejarah. Hal ini kerana kata yang merupakan istilah mendokong konsep-konsep tertentu yang hanya difahami oleh pakar bidang tersebut sahaja. Namun demikian terdapat juga kata-kata bidang tertentu yang telah dijadikan kata umum.

Masalah perubahan istilah yang sering berlaku sebenarnya disebabkan oleh perkara yang biasa sahaja. Umumnya kita akan berusaha bermati-matian hendak menterjemahkan kata daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu secara literal, dan apabila kita tidak dapat mencari kata daripada bahasa Melayu yang sepadan satu lawan satu dengan kata Inggeris itu, maka kita terus meminjam istilah asing. Kadang-kadang kita menganggap bahawa sistem bahasa Inggeris lebih tepat atau lebih baik daripada sistem bahasa Melayu yang telah sedia ada. Misalnya unsur ist yang bertugas sebagai membentuk kata nama manusia dalam bahasa Inggeris, adalah lebih tepat daripada unsur yang ada dalam bahasa Melayu. Jika kita menganggap bahawa ?saintis? lebih baik daripada ahli sains atau novelis lebih baik dari penulis novel, maka kita pun menggunakan saintis atau novelis sebagai istilah bahasa Melayu kerana kononnya istilah itu lebih tepat dan lebih hebat daripada bahasa kita sendiri. Inilah salah satu punca yang menyebabkan orang sering mencipta istilah yang salah atau yang tidak tepat dari segi sosiologis bahasanya, dan inilah juga punca berlakunya perubahan istilah. 

2

Apakah perancangan DBP dalam memperkenalkan istilah-istilah baru teknologi maklumat yang sentiasa berubah mengikut perubahan dalam industri tersebut?

DBP telah mempunyai Jawatankuasa Istilah Teknologi Maklumat DBP semenjak tahun 1994 yang berfungsi menggubal dan menyediakan istilah bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat. Ahli jawatankuasa ini terdiri daripada pakar bidang dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta MIMOS Berhad. Jawatankuasa ini bertanggungjawab menyediakan istilah-istilah berserta huraiannya dalam subbidang Teknologi Maklumat seperti Perkakasan, Organisasi Sistem Komputer, Perisian, Data, Teori Komputer, Matematik Komputeran, Sistem Maklumat, Metodologi Komputeran, Aplikasi Komputer, dan Teknologi Maklumat dalam Kehidupan.

Sehingga kini, DBP telahpun menerbitkan Glosari Teknologi Maklumat (1996) dan Glosari Teknologi Maklumat II sedang dalam proses penerbitan. Penggubalan dan penyediaan istilah-istilah untuk Glosari Teknologi Maklumat III yang mengandungi subbidang Internet, Multimedia dan Keselamatan Komputer sedang diusahakan pada masa ini. Selain itu, DBP juga telah menerbitkan Kamus Komputer (1995) dan Daftar Istilah Komputer (1995).

Selain itu, Jawatankuasa Istilah Teknologi Maklumat JITIK (Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan) juga akan ditubuhkan pada bulan Disember 1999 ini untuk memperkembang dan memajukan bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat di sektor awam. Jawatankuasa ini akan menyediakan istilah-istilah bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat untuk kegunaan JITIK dan memberi pengawasan termasuk memantau, menilai, menyemak dan membaiki istilah-istilah dalam bahasa Melayu yang digunakan oleh JITIK. Jawatankuasa ini merupakan jawatankuasa istilah bersama DBP dengan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia.

DBP juga mempunyai Jawatankuasa Istilah Semasa yang ditubuhkan khusus untuk memenuhi keperluan segera dan semasa masyarakat dalam penggunaan istilah pelbagai bidang , terutamanya teknologi maklumat, perindustrian, perdagangan, pelaburan dan juga pelancongan. Sehingga kini, Daftar Istilah Semasa Jilid I dan Daftar Istilah II telah diterbitkan dan usaha penerbitan istilah semasa ini merupakan usaha yang berterusan.


Seterusnya>>    

 
Cetak versi format pencetak untuk halaman ini  Cetak halaman ini  
 

 

  174864174864174864174864174864174864174864174864174864174864 
Hari Ini 0
Semalam 9
Minggu Ini 59
Minggu Lepas 44
Bulan Ini 114
Bulan Lepas 408
Semua 174864


Dewan Bahasa dan Pustaka, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur, MALAYSIA
Paparan terbaik Internet Explorer 5.0 ke atas, resolusi 1024 x 768 pixel.
Hak Cipta Terpelihara @ 2016 - DBP, Kuala Lumpur, MALAYSIA.